Friday 18 May 2012
LagI BerIta BAM vs YoO YoNg SuNG
PENGURUS Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh menganggap tuduhan jurulatih beregu dari Korea Selatan, Yoo Yong Sung terhadap dirinya dan Setiausaha Kehormat, Ng Chin Chai sebagai tidak profesional dan tidak benar.
Kenny berkata, semua pertelagahan yang berlaku berpunca daripada jurulatih itu sendiri kerana tidak memahami apa yang cuba disampaikan dan apa yang mahu dijelaskan kerana dia tidak fasih berbahasa Inggeris malah isterinya yang didakwa mampu berbahasa Inggeris juga tidak begitu fasih.
“Memang susah untuk berkomunikasi dengannya. Dia sebenarnya tidak faham apa yang cuba disampaikan dan ketika berbincang, isterinya terpaksa menyemak perkataan bahasa Inggeris itu dan bertanyakan bagaimana mahu mengeja perkataan itu kepada saya.
“Itu amat menyukarkan kerana dia mungkin salah faham atau tidak faham apa yang cuba disampaikan,” katanya.
Katanya, persoalan mengenai gaji turut menjadi faktor utama apabila dia meminta gaji tiga kali ganda daripada gaji asal ditawarkan dan permintaan itu ditolak selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) tidak setuju dengan permintaannya sebaliknya hanya bersedia menyambung kontrak. “Dia kemudiannya menghantar surat peletakan jawatan selepas itu.
“Asalnya, saya tidak mengenalinya namun dia diperkenalkan Tan Kim Her (ketua jurulatih beregu) yang mengatakan Yong Sung datang ke Malaysia untuk menghantar anaknya belajar. Pada masa sama ketika itu tiada jawatan kosong di BAM.
“Yong Sung memaklumkan sama ada mendapat kerja atau tidak, dia tetap akan menghantar anaknya belajar di Malaysia. “Memandangkan dia mempunyai pengalaman sebagai pemain, BAM setuju memberi tempoh percubaan selama enam bulan November lalu dan sedia melanjutkan kontraknya andai berpuas hati dengan hasil kerjanya,” kata Kenny.
Kenny berkata, dalam tempoh itu memang timbul beberapa perkara yang tidak dipersetujui bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2000 dan 2004, antaranya tidak diberikan pemain tetap untuk dilatih.
“Bukan Kim Her tidak mahu memberikan kepadanya pemain untuk dilatih lebih awal kerana pada masa itu kita tidak tahu kelebihannya.
“Selepas puas hati dengan prestasinya barulah kita menyerahkan kepadanya dua pemain untuk dilatih iaitu Teo Ee Yi dan Nelson Heg Wei, dua bulan sebelum tempoh percubaannya tamat.
“Memang tidak dinafikan dia seorang jurulatih berpengalaman dan berkaliber tapi saya tidak tahu kenapa nak tuduh BAM. “Niat utama hanya mahu membantu dia dan saya pelik kerana dia sudah maklum senario itu. “Apapun jika mengenai pemain dia harus berbincang dengan Kim Her dan bukannya menuding jari kepada BAM,” katanya yang tidak mahu memberi komen lanjut hingga tamat saingan Piala Thomas.
Kelmarin, Yong Sung menjelaskan punca peletakan jawatannya kerana menganggap BAM tidak bersikap profesional dengan cuba memutar belit fakta mengenai peletakan jawatannya dengan mendakwa dia meminta bayaran RM30,000 (AS$10,000) sebulan.
Label:
BAM,
Chin Chai,
Kenny,
Yoo Yong Sung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment