Friday, 25 May 2012

Xde PeMaiN BerBakAt - NadZmI



TIADA pemain berbakat. Itu alasan yang diberikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Salleh selepas skuad negara gagal buat kali keenam dalam misi menjulang Piala Thomas.

Nadzmi berkata, dengan barisan pemain yang terhad, sukar bagi badan induk badminton negara itu membentuk skuad yang benar-benar mantap bagi menghadapi kejohanan berpasukan tersebut.

Mungkin alasan yang diberikan itu sudah 'lapuk' namun ia hakikat yang perlu ditelan oleh peminat-peminat sukan badminton tempatan.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa kelompok pemain yang kita ada amat kecil. Kita berdepan masalah di peringkat akar umbi kerana persatuan badminton negeri tidak memberi sumbangan yang besar.

"Tidak dinafikan, kita memiliki pemain hebat yang di peringkat remaja namun mereka hanya mampu berada dalam kelompok yang digelar pemain berkelas dunia. Untuk berada pada tahap yang lebih tinggi, kita tidak ada.

"Jadi, sebelum merumus sesuatu perkara kita perlu lihat pada realiti sistem yang kita ada," kata Nadzmi.
Cabaran Malaysia pada saingan Piala Thomas 2012 berakhir selepas tumbang 0-3 kepada China pada aksi peringkat suku akhir di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China kelmarin.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan skuad negara gagal mencapai sasaran yang diletakkan BAM untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir.

Dengan kegagalan itu juga, kini sudah genap 20 tahun skuad negara gagal membawa pulang trofi berprestij itu selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai prestasi skuad negara di Wuhan, Nadzmi tetap memuji semangat juang yang dipamerkan barisan pemain negara.

Jelasnya, persembahan para pemain tidaklah seburuk yang disangka.
"Piala Thomas sentiasa dianggap penting oleh BAM tetapi kita perlu sedar bahawa sasaran utama adalah Sukan Olimpik 2012.

"Bagi saya, edisi kali ini skuad negara tidak bernasib baik kerana kecederaan yang dialami Datuk Lee Chong Wei dan terpaksa ditepikan daripada kejohanan.

"Ia secara tidak langsung telah menjejaskan moral pemain-pemain lain," jelas Nadzmi.
Kempen Piala Thomas kali ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam buat skuad negara selepas Chong Wei mengalami masalah kecederaan serius di bahagian buku lali kanannya.

Dia mengalami kecederaan tersebut ketika menentang Peter Hoeg Gade dari Denmark pada aksi terakhir Kumpulan C, Selasa lalu.

Yang pasti, ia merupakan tamparan hebat buat Malaysia dalam misi mengutip pingat emas sulung temasya Sukan Olimpik 2012 menerusi Chong Wei.

Dengan hanya berbaki 63 hari lagi sebelum Sukan Olimpik di London bermula, Chong Wei diharapkan dapat pulih secepat mungkin bagi menyalakan kembali impian rakyat Malaysia yang mahu menyaksikan pingat emas pertama menjelma di bumi London menerusi pemain No. 1 dunia itu.

No comments:

Post a Comment